ISTIKHARAH:
BAGAIMANA & MENGAPA?


Istikharah (meminta kebaikan): Meminta barakah & petunjuk daripada Allah ﷻ sebelum membuat sesuatu keputusan

1

Niat untuk membuat Istikharah


2

Solat Sunat 2 Rakaat


3

Baca doa Istikharah dan sebutkan hajat


Doa Istikharah
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ ‭[sebutkan urusan]‬ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ


Allāhumma innī astakhīruka biʿilmika wa astaqdiruka biqudratika, wa asʾaluka min faḍlika (a)l-ʿaẓīm fainnaka taqdiru walā aqdiru wa taʿlamu wala aʿlamu wa anta ʿallāmu (a)l-ghuyūb. Allāhumma, in kunta taʿlamu anna hadha (a)l-amra [sebutkan urusan] khayrun lī fī dīnī wa maʿāshī waʿāqibati amrī faqdurhu lī wa ya (a)s-sirhu lī thumma barik lī fīhi. Wa in kunta taʿlamu anna hadha (a)l-amra sharrun lī fī dīnī wa maʿāshī wa ʿāqibati amri faṣrifhu ʿannī wa (a)ṣrifni ʿanhu waqdir lī(ya) (a)l-khayra haythu kāna thumma arḍīnī bihi.
Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjukMu dalam pengetahuanMu, aku meminta kekuatanMu dengan kemampuanMu, dan aku mengharapkan daripada kurniaMu yang Agung. Maka sesungguhnya Engkau mampu dan aku tidak mampu, Engkau tahu dan aku tidak tahu dan Engkau Maha Mengetahui segala perkara ghaib. Ya Allah jika Engkau tahu bahawa urusan ini [sebutkan urusan] baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, maka mampukanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah padanya bagiku. Dan jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Takdirkanlah kebaikan padaku, di mana-mana pun ia, kemudian redhakan lah aku padanya

Perincian


Gambaran Keseluruhan

Istikharah dari sudut bahasa bermaksud “meminta sesuatu kebaikan” dan merupakan bahagian ketiga daripada 3 langkah proses pembuatan keputusan:

  1. Persediaan - Gunakan rasional dan nilai keadaan sendiri. Lakukan penyelidikan awal terlebih dahulu.
  2. Istisharah (minta pandangan) - Tanyakan pendapat mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan
  3. Istikharah (minta kebaikan) - Sekiranya selepas mengurangkan pilihan, kita masih menghadapi kesukaran membuat keputusan, di sinilah istikharah memainkan peranan untuk memberi kita keyakinan dan kejelasan.

Solat Istikharah

Prasyarat

  • Sama seperti prasyarat solat-solat lain
  • Tiada syarat-syarat lain. (tiada mandi khas atau masa khas)

Bagaimana/Kaifiat

Tunaikan solat sunat dua rakaat dan bacakan apa sahaja surah pada setiap rakaat selepas Al-Fatihah (tiada surah yang dikhaskan oleh Nabi ﷺ). Sesudah memberi salam, bacakan doa Istikharah seperti yang dianjurkan kepada kita oleh Nabi ﷺ dan nyatakan keperluan kita dalam apa-apa bahasa yang kita mahu. Jika kita tidak menghafal lafaz Arabnya, bacalah ia daripada kertas atau telefon bimbit. Jika kita tidak boleh membaca bahasa Arab, bacakan transliterasinya. Tiada doa tambahan yang wajib dibaca selepasnya.

Hasilnya

Kita TIDAK SEMESTINYA akan ternampak mimpi, bayangan, tanda, dan sebagainya. Allah ﷻ akan meletakkan sedikit kecenderungan di dalam hati kita untuk meneruskan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Kesimpulan

Istikharah merupakan suatu proses semulajadi. Jangan mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Istikharah hanya memastikan bahawa kita mendapat keberkatan daripada Allah, menyokong pilihan kita. Istikharah itu tidak ujud bagi perbuatan Haram (contoh, meminum arak) atau perkara fardhu (contoh, solat isya’). Janganlah menyesali keputusan kita selepasnya, kerana ia bermaksud menyesali dan meragui petunjuk Allah. Walaupun keputusan kita mungkin membuahkan hasil seperti yang kita harapkan, ketahuilah bahawa itu adalah yang terbaik bagi kita dan di situ terdapat keberkatan padanya, meskipun kita tidak dapat melihatnya.

Soalan Lazim


1. Bagaimana jika saya masih belum dapat membuat keputusan?

Teruskan berdoa. Ini mungkin petanda bahawa Allah ﷻ memahukan kita untuk terus merayu kepadaNya dan meminta pertolongan daripadaNya. Apa pun, jangan sesekali putus harapan. Walaupun kita meminta seribu kali tanpa petunjuk yang pasti, itu bukanlah sebab untuk berhenti meminta. Ketahuilah bahawa Allah hanya belum meletakkan kecenderungan itu di dalam hati kita.

2. Bolehkah saya solat Istikharah bagi orang lain?

Solat istikharah sepatutnya dilakukan sendiri oleh orang yang membuat keputusan. Tiada dalil yang dijumpai untuk sebaliknya.

3. Bagaimana jika saya jarang beramal dan merasakan bahawa doa saya tidak akan dijawab?

Allah adalah tempat bergantung kesemua makhluk. Malah pendosa terbesar sekali pun masih boleh kembali kepada Allah dan meminta daripadaNya. Ini merupakan tanda keikhlasan dan kepercayaan kepada Allah.

4. Bagaimana jika keputusan ini melibatkan orang lain?

Maka setiap orang yang terlibat patut menunaikan solat istikharah mereka sendiri.

5. Bolehkah saya solat Istikharah sedangkan saya sudah meyakini keputusan saya?

Ya, kerana ia boleh menambahkan keberkatan dalam perbuatan kita. Para sahabat (RA) membuat istikharah walaupun bagi perkara harian yang mudah.

6. Bolehkah saya membaca doa istikharah tanpa menunaikan solat sunat dua rakaat?

Ya, berdoa sahaja turut dibolehkan. Nabi ﷺ memberitahu untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, namun dibolehkan juga sekiranya kita hanya membaca doa istikharah terutamanya bagi keperluan harian atau berterusan, atau jika kita perlu membuat suatu keputusan dengan segera. Oleh itu, seorang wanita yang tidak solat kerana uzur shar’ie, doanya tetap sah meskipun tidak diiringi solat.

7. Bagaimana jika saya tidak boleh membaca doa di dalam Bahasa Arab? Saya baru kembali beramal dan mendapati penyebutan Bahasa Arab itu terlalu sukar.

Bacalah doa itu di dalam bahasa apa sahaja dan ketahuilah bahawa Allah Maha Memahami segala bahasa. Yang penting, berdoalah dengan hati yang hadir. Allah mahu mendengar rintihan dan rayuan ikhlas hambaNya kepadaNya. Jika ianya lebih mudah untuk anda menyampaikan doa di dalam bahasa lain, maka berbuatlah demikian.

8. Jika Allah memahami semua bahasa dan doa, maka mengapa patut saya bacakannya di dalam bahasa Arab?

Kerana doa itu diajarkan junjungan kita ﷺ. Hanya dengan mengikuti sebutan baginda ﷺ, kita beroleh pahala tambahan. Malah para sahabat (RA) yang hebat itu dikatakan telah diajar oleh Nabi ﷺ doa ini sebagaimana mereka diajar sebahagian ayat-ayat Al-Quran.

9. Saya telah membuat sebuah keputusan tanpa melakukan Istikharah. Adakah saya bersalah?

Tidak. Istikharah itu merupakan suatu jalan bagi seorang hamba merayu kepada Tuhannya supaya keputusannya diberkati, tetapi Allah itu jauh terlalu Pemurah untuk meletakkan keberkatanNya bergantung kepada tindakan hambaNya.

10. Adakah terdapat bilangan tertentu untuk melakukan solat istikharah sebelum memutuskan sesuatu keputusan?

Nabi ﷺ tidak menghadkan bilangan solat istikharah. Maka sama ada dilakukan sekali atau seribu kali, semuanya bergantung kepada individu tersebut. Jika kita masih tidak merasakan suatu kecenderungan kepada sesuatu keputusan, teruskan meminta. Jika kita sudah merasakan sesuatu kecenderungan, ketahuilah bahawa ianya daripada Allah, dan terimalah ia dengan hati terbuka. Tidak perlu lagi untuk mendapatkan kepastian lebih daripada Istikharah.